Jumaat, 13 Mac 2009

Orang Kampungku Ditimpa Kemalangan!

Lapan parah, 29 cedera ringan
Oleh OPAT RATTANACHOT


SIK 12 Mac - Lapan pelajar parah dan 29 lagi cedera ringan apabila sebuah bas yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di Kampung Sungai Senang dekat sini hari ini. Bas sewa khas yang dipandu oleh seorang lelaki berusia sekitar 40-an berkenaan dikatakan hilang kawalan apabila tiba di satu kawasan selekoh tersebut sebelum terbalik. Pemandu tersebut juga dilaporkan parah selepas cedera pada kepala dan anggota badan. Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Supritendan Zaidong Mustaffa berkata, bas yang membawa 37 pelajar tingkatan tiga Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Pendang itu dalam perjalanan ke Empangan Beris dekat sini untuk mengikuti kursus motivasi. Mereka bertolak dari Bukit Jenun pada jam 2.30 petang dan ketika melalui Jalan Sungai Senang yang menuruni bukit, bas itu gagal dikawal sebelum terbabas dan terbalik. "Kejadian tersebut menyebabkan lapan pelajar masing-masing lima wanita dan tiga lelaki cedera parah manakala yang lain cedera ringan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Mereka yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sik (HS) untuk menerima rawatan manakala yang lain diberi rawatan pesakit luar di hospital sama.
Menurut Zaidong, orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut sempat menghulurkan bantuan kepada mangsa berkenaan. Bagaimanapun, kebanyakan pelajar yang cedera parah itu pada mulanya tidak dapat dibantu penduduk kampung memandangkan mereka tersepit di kerusi. "Pihak berkuasa terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba dan penyelamat bagi mengeluarkan mangsa dan menghantar mereka ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya. Beliau berkata, keadaan semua mereka kini dilaporkan stabil. Tambahnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati pemandu bas berkenaan dikatakan tidak begitu arif dengan keadaan jalan tersebut. "Kita akan merekodkan kenyataan pemandu selepas keadaannya beransur pulih bagi membantu siasatan di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)," jelasnya.
Sementara itu, salah seorang pelajar yang ditemui pemberita, Mohd. Faridzuan Ishak, 15, berkata, ketika kejadian dia bersama rakannya sedang berbual-bual di atas bas. "Masa itu bas sedang menuruni bukit dan kami semua yang berada dalam bas menjerit apabila pemandu memberitahu brek bas gagal berfungsi. "Saya serta rakan tidak dapat berbuat apa-apa hanya berdoa agar kami semua selamat," katanya. Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di HS mendapati keadaan menjadi sedikit kelam-kabut apabila sebahagian besar waris pelajar terbabit memenuhi pekarangan wad kecemasan bagi mengetahui keadaan sebenar anak-anak mereka.

Tiada ulasan: