Khamis, 8 Januari 2009

Qunut Nazilah Untuk Palestin....


“Assalamualaikum. Tolong bacakan. Lailahailla Allah, Allahu Akbar, surah al-Ikhlas 3x utk pejuang Palestin yang sdg dikepung Israel. SMS kan kepada 10 org rakan anda. AMANAH.”

SMS ‘rasmi’ sempena serangan Israel laknatuLlah ke atas umat Islam yang tidak berdosa menyerbu kotak mesej di kebanyakan telefon bimbit di Malaysia. SMS ini tersebar merata, dan saya sudah menerima SMS seumpama ini semenjak tiga tahun yang lalu. Tiada siapa yang tahu, siapakah pemulanya. SMS ini juga pelbagai versi, namun bahan kandungannya sama, iaitu bacakan zikir tahlil, takbir dan surah al-Ikhlas atau beberapa ayat dalam surah al-Fath. Untuk pejuang Palestin, ideanya. Ramai orang yang ingin turut rasa bersama untuk sama-sama menentang Israel, hanya dengan amalan sedemikian.

Membantukah cara ini, sehingga boleh memenangkan ketumbukan tentera Islam di sana? Apakah tauladan dari Nabi dan Sahabat apabila menerima tekanan hebat dan cengkaman perang dari tentera kuffar?

Qunut Nazilah: Cara Nabi, Salafussoleh dan para ulama

Tidak pernah tercatat dalam mana-mana sumber Islam bahawa apabila berperang dengan orang-orang kafir dan Yahudi, kita yang tidak ikut sama berperang dituntut untuk membaca zikir dan ayat tertentu. Kalau ia sesuatu yang perlu dan berkesan, sudah pasti ia tercatat lama dalam sejarah mahupun dalam mana-mana teks klasik Islam. Tetapi, Nabi mengajar kita dengan sesuatu yang lebih tajam dari itu, iaitu berdoa dalam qunut pada setiap solat yang lima, yang dipanggil qunut nazilah. Sesungguhnya, doa adalah senjata bagi orang Mukmin. Mari kita menggunakan senjata yang paling tajam dan jitu.

Apakah maksud nazilah? Ia bermaksud sesuatu perkara yang berat dan dahsyat yang menimpa sesuatu kaum seperti ketakutan, serangan musuh dan sebagainya. Doa ini dibaca setelah bangun dari rukuk bagi rakaat terakhir pada setiap kali solat fardhu sehingga nazilah itu diangkat oleh Allah. Ini bermakna, setelah nazilah itu tiada lagi, maka amalan qunut ini perlu dihentikan.

Terdapat banyak rekod bahawa Nabi melakukan qunut Nazilah dalam beberapa tempat dan keadaan. Antaranya sebagaimana berikut:

Daripada Anas:

أن النبي – صلى الله عليه وسلم – قنت شهراً حين قُتِل القُرّاء، فما رأيته حزن حزناً قط أشدّ منه

Maksud:
Sesungguhnya Nabi s.a.w. berqunut selama sebulan semenjak para penghafaz al-Quran telah terbunuh, maka tidak pernah aku melihat baginda begitu sedih dengan kesedihan sekuat itu.

Daripada Ibn Umar:

أنه سمع النبي – صلى الله عليه وسلم – إذا رفع رأسه من الركوع في الركعة الأخيرة من الفجر يقول: (اللهم العن فلاناً وفلاناً وفلاناً بعدما يقول: سمع الله لمن حمده، ربنا ولك الحمد

Maksud:
Sesungguhnya dia mendengar Nabi s.a.w. ketika mengangkat kepalanya daripada rukuk pada rakaat yang terakhir bagi solat Subuh, baginda berdoa: “Ya Allah, Engkau laknatlah si fulan, si fulan, si fulan selepas baginda menyatakan :
سمع الله لمن حمده، ربنا ولك الحمد.

Dan banyak lagi riwayat yang datang dari amalan Nabi, para sahabat dan tabi’in sebagai bukti bahawa ia adalah perkara yang disyariatkan ketika umat Islam dalam keadaan yang sangat menekan dan menderita kesusahan. Doa qunut nazilah tidak ditetapkan teksnya, dan bebas kepada individu untuk membacanya apa sahaja permohonan demi menyelamatkan umat Islam yang tertindas dan tertekan dengan ujian yang berat. Apa yang jelas, qunut nazilah mengandungi permohonan yang mendalam agar diberi kesalamatan ke atas kaum Muslimin dan permintaan agar dihancurkan dan dimusnahkan musuh-musuh Islam. Ibn Taimiyyah mengatakan bahawa; “Maka adalah sunnah untuk berdoa qunut ketika nazilah menimpa dan didoakan padanya apa yang berkaitan kaum yang memerangi.” Beliau juga mengatakan bahawa, “dan diharuskan untuk orang yang berdoa pada setiap qunut nazilah dengan doa yang berkaitan dengan nazilah tersebut.”

Bacalah doa ini, juga amalkannya di dalam solat. Sila Klik di sini.

*petikan ini dipetik dari kotak emelku layaran sahabatku yg budiman.Syukran kerana berkongsi! selamatkan palestin!!! Allahuakbar!!

Tiada ulasan: