Khamis, 8 Januari 2009

Cerita Bola3

Kedah Kalah Kerana Keletihan, Kata Azizan

ALOR STAR, 8 Jan (Bernama) -- Kekalahan pasukan bola sepak Kedah secara berturut-turut kepada Selangor dan Negeri Sembilan pada saingan Liga Super adalah disebabkan "keletihan" dan bukan ada unsur rasuah, kata Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Katanya, KFA mendapati kekalahan pasukan itu tidak mempunyai unsur rasuah sama sekali malah pengurusan pasukan sedang mengambil langkah untuk memperbaiki kelemahan pemain.

Menteri Besar Kedah itu berkata, KFA memandang serius dengan kekalahan itu dan akan mengambil beberapa pendekatan termasuk memberi kelapangan masa bagi membolehkan para pemain mendapatkan rehat yang secukupnya. "Kekalahan yang berlaku sebelum ini bukan tali pengukur kepada prestasi pasukan kerana ia masih di peringkat permulaan dan KFA tidak bercadang melakukan rombakan terhadap pengurusan pasukan dan pemain", katanya kepada pemberita selepas mesyuarat KFA di sini, Khamis.

Kedah yang pernah menjuarai tiga piala dalam Liga Malaysia musim lepas akan menentang Johor FC di Stadium Darulaman di sini Sabtu ini.

Azizan berkata, Datuk Othman Aziz masih merupakan pengurus pasukan dan isu kononnya beliau akan melepaskan jawatan sebenarnya tidak timbul. "Datuk Othman masih menjadi pengurus pasukan Kedah kerana kontrak beliau bersama Kedah adalah sehingga bulan Jun ini," katanya.

-- BERNAMA

source: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newssport.php?id=382413 (08/01/2009)

*glamour team Kedah skrg...dulu time jadi juara treble mana ada berita besar2an tapi tahun ni bila kalah baru 2 game dah glamour!tiap2 hari ada je 'hentaman' dr media. Heheh...sukan..sukan...

Tiada ulasan: