Rabu, 11 Februari 2009

Rancangan membangunkan Daerah Pendang

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM


PENDANG – Daerah Pendang yang terletak di bahagian tengah Negeri Kedah dan dulunya merupakan daerah terpencil, kini telah mengorak langkah untuk bangun bersama-sama daerah maju lain dalam zaman serba moden ini.

Draf Rancangan Tempatan Daerah Pendang 2006-2020 telah disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia dengan kerjasama Majlis Daerah Pendang dan kerajaan negeri Kedah yang bermatlamat membangunkan daerah Pendang dengan satu rangkaian petempatan mampan yang disokong oleh ekonomi berdaya maju, peningkatan kualiti hidup dan pengurusan sumber jaya yang cekap.

Laporan Draf Rancangan Tempatan Daerah Pendang 2006-2020 merupakan satu dokumen rasmi yang menerangkan semua cadangan mengenai pemajuan dan penggunaan tanah secara terperinci mengikut setiap lot dalam Kawasan Rancangan Tempatan (KRT) menjelang tahun 2020.

Selain itu, laporan ini menyediakan panduan perancangan dan pembangunan untuk membantu pihak Majlis Daerah Pendang melaksanakan fungsinya sebagai Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) dengan lebih efektif dan efisien.

Kawasan Rancangan Tempatan (KRT) atau Daerah Pendang mempunyai keluasan seluas 62,984.07 hektar dan terdiri daripada lapan mukim iaitu Mukim Air Puteh, Guar Kepayang, Padang Pusing, Bukit Raya, Tobiar, Rambai, Padang Kerbau dan Padang Peliang.

Bilangan penduduk di seluruh Daerah Pendang adalah seramai 104,800 dan bilangan ini akan meningkat kepada 136,482 pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak 5.4 peratus.

Sehubungan itu, pusat-pusat penempatan sedia ada akan dinaik taraf berdasarkan pertumbuhan penduduk, antaranya Pendang sebagai Pusat Separa Wilayah yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan wilayah, Bukit Jenun sebagai Pusat Penempatan Utama berfungsi sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan peringkat daerah.

Manakala Tokai, Kubur Panjang, Kobah dan Sungai Tiang sebagai Pusat Petempatan Kecil berfungsi sebagai pusat perdagangan dan perkhidmatan terhad kepada penduduk setempat. Seterusnya Kampung Kubur Panjang, Paya Rawa, Pokok Asam, Asam Jawa, Paya Kerchut dan Kampung Baru dijadikan sebagai Pusat Pertumbuhan Desa yang menyediakan kemudahan asas serta sosial untuk penduduk setempat.

Tiada ulasan: