Khamis, 22 Mei 2008

Isu Pendidikan

7,430 murid Tahun Satu di Terengganu tidak tahu membaca dan menulis

MARANG:Seramai 7,430 murid Tahun Satu di Trengganu masih tidak tahu membaca dan menulis, walaupun sesi persekolahan sudah lima bulan berjalan, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said. Beliau berkata, perkara itu dikesan oleh Jabatan Pelajaran Negeri dan sehubungan itu jabatan berkenaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mencari punca sebenar murid berkenaan gagal menguasai kedua-dua kemahiran itu. "Kita perlu tahu apakah sebabnya. Adakah mereka tidak dihantar ke kelas tadika sebelum memasuki alam persekolahan atau masalah lain seperti kesihatan, pemakanan atau persekitaran mereka.

“Ini perlu dikaji dengan teliti supaya pembelajaran mereka tidak terbantut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, di sini hari ini. Ahmad berkata kerajaan negeri akan mengambil apa jua pendekatan untuk mengatasi masalah itu walaupun terpaksa membabitkan peruntukan yang besar. Beliau berkata, bagi meningkatkan tahap pendidikan di luar bandar, Jabatan Pendidikan negeri juga sudah mengadakan Program “Score A” di 100 buah sekolah rendah di luar bandar dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM500,000.
"Kita juga sedang mengkaji satu formula untuk meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar yang dicipta oleh sebuah syarikat. Jika sesuai, kami akan mendapatkannya walaupun menelan belanja yang tinggi,” katanya. Sementara itu Ahmad berkata, mulai tahun depan, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan bagi membina dan membaiki surau sekolah di seluruh Terengganu. Terdapat lebih 100 buah sekolah menengah serta lebih 300 sekolah rendah yang memerlukan sama ada pembinaan atau pembaikan surau dan perkara itu akan dibuat secara berperingkat, katanya.- Bernama
[Ulasan raudhah7 :- Dimana silapnya?sistem pendidikan tidak berkesan?guru yang tidak berdedikasi?murid yang sememangnya lembab? atau sistem politik yang melangkaui segala2nya..fikir2kan...

Tiada ulasan: