Jumaat, 27 Mac 2009

Puteri pecut dilarang berlari kerana pakaian ketat

PULAU PINANG: Seorang ahli perniagaan terkejut dengan tindakan sebuah sekolah menengah di Gelugor di sini yang melarang anak perempuannya menyertai acara sukan kerana memakai seluar getah ketat dan t-shirt. Mohamad Asrul Rashid Mohd Ikbal, 36, berkata anaknya, Baizura, 13, tidak dibenarkan menyertai acara larian dalam olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Mohd Nor Ahmad kerana tidak memakai pakaian sukan seperti yang diarahkan. Mohamad Asrul berkata, anaknya menyatakan guru sukan di sekolah itu telah memintanya dan dua lagi rakannya memakai t-shirt, seluar trek dan tudung jika ingin terus menyertai acara tersebut. Baizura pernah terpilih sebagai olahragawati sekolah selama tiga tahun berturut-turut semasa belajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor. "Dia juga pernah dianugerahkan puteri pecut sekolah itu," kata Mohd Asrul. Beliau berkata, dalam perbincangan dengan pihak sekolah hari ini, guru sukan dan pengetua sekolah saling menuding jari dan tidak mengaku mengeluarkan arahan berkenaan. "Yang menjadi kemarahan pihak kami, guru sukan kata arahan itu dikeluarkan oleh pengetua, pengetua pula kata tiada sebarang arahan dikeluarkan," katanya. Mohamad Asrul berkata, seorang pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut hadir dalam perbincangan itu dan beliau yang enggan namanya dinyatakan, berjanji akan menyiasat. Pengarah JPN, Ibrahim Mohamad, ketika dihubungi berkata beliau tidak dapat mengulas mengenai perkara itu yang kini dalam siasatan. - Bernama
[Komen raudhah7]
Menarik isu yang aku baca hari ini di akhbar berita harian. Menarik kerana aku sendiri bingung dengan tindakan bapa kepada pelajar perempuan ini. Tindakan beliau yang mempersoal arahan guru sukan sekolah terbabit yang meminta anaknya memakai pakaian yang lebih bersopan dan menutup aurat memang membuatkan hatiku tertanya dan bingung. Adakah berpakaian ketat itu baik dan sesuai bagi pelajar perempuan yang sedang membesar sepertinya? Seorang bapa yang sepatutnya memuliakan anak perempuannya, yang wajib menjaga kehormatan dan keperibadian anak perempuannya menyoal perkara sebegitu yang mampu menjaga kehormatan diri anaknya. Tahniah aku ucapkan pada guru tersebut. Inilah masalahnya bila jiwa tidak melahirkan personaliti yang baik dan terpuji. Kecetekan ilmu agama mungkin sebab utama perkara ini terjadi.

Apa salahnya kalau anaknya berlari dengan bertudung? ingatkah kita dengan seorang atlit pecut dari Bahrain yang bernama Ruqaya Al Ghasara??Ruqaya bertudung tetapi mampu menjadi pelari pecut acara 200m dan menjadi yang terpantas di Sukan Asia. Malah katanya dengan mengenakan pakaian muslimah seperti itulah yang meningkatkan lagi keazamannya untuk membuktikan pada dunia yang beliau adalah yang terbaik. Dunia telah dibuktikan walaupun dengan mengekalkan imej yang sebegitu beliau masih berjaya dan cemerlang. Ini cuma acara di sekolah tapi sudah begini jadinya. Baru bergelar puteri pecut peringkat sekolah sudah menunjukkan egois yang tinggi. Tahniah ?? si bapa kerana mengajar anak ke jalan yang tidak sepatutnya seorang bapa melakukannya. Mungkin beliau mempunyai alasan yang tersendiri.. Renunglah sejenak wahai ibu bapa yang budiman, anak merupakan amanah yang ALlah kurniakan kepada kita maka pimpinlah mereka ke jalan yang benar dan diberkati ALlah.

Tiada ulasan: