Kenari Patah Sayap :((
IBARAT kenari patah sayap, Kedah dipaksa menanggung derita diaibkan 1-4 oleh Selangor yang menggondol Piala Sultan Ahmad Shah hasil kemenangan meyakinkan pada aksi Sumbangsih Liga Malaysia 2009 di Stadium Darulaman, malam tadi.
Igauan itu dirintis Helmi Eliza Elias yang mengulangi ‘tragedi aksi’ bersama skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF lalu apabila dia bertanggungjawab mengakibatkan Kedah tertinggal tiga gol selepas hanya 35 minit pertentangan. Mimpi ngerinya bermula seawal minit ketiga apabila rembatan leret Amri Yahyah, daripada sepakan percuma di luar kawasan penalti, lolos di celah benteng untuk menerjah jaring tanpa sempat dijangkaunya buat gol pertama Selangor.
Namun sorakan lebih 30,000 peminat mendorong Kedah cuba bangkit, terbukti menerusi cubaan Badrol Bakhtiar pada minit ketujuh yang sedikit melewati palang.
Sayangnya, Helmi jelas ‘sedia’ untuk terus menghampakan segala usaha itu apabila rembatan tidak berbahaya dari jarak lebih 20 meter oleh pemain muda Selangor, Zameer Zainun pada minit ke-32, ditumbuknya masuk ke gawang sendiri.Igauannya lengkap tiga minit kemudian apabila bola sepakan percuma R Surendran cantik disambung Amri dengan tandukan ke sasaran untuk gol ketiga Selangor. Akibatnya, Helmi bingkas dikeluarkan jurulatih, Azraai Khor Abdullah, untuk Mohd Al-Hafiz Hamzah masuk sebagai pengganti. Kedah cuba bangkit dengan aturan gerak mengancam pada awal babak kedua, namun Hamsani Ahmad di gawang Selangor dan barisan benteng di hadapannya kukuh menyerap segala serangan diciptakan lawan.
Malang tuan rumah kemudiannya berterusan apabila Mohd Farizal Rozali dibuang padang, pada minit ke-54, ekoran tindakannya meluru dan mengasari Hamsani ketika penjaga gol itu masih terbaring selepas menangkap bola rembatan Khairulnizam Mustafa. Empat minit kemudiannya, Safee Sali memastikan luka Kedah kian berdarah apabila meledakkan rembatan dari jarak 25 meter yang melepasi jangkauan Al-Hafiz sebelum terkena tiang kiri gol dan melantun masuk buat gol keempat Selangor. Kedah terus cuba bersaing dalam baki tempoh aksi dan berhasil menembusi gawang lawan menerusi jaringan Khyril Muhymeen Zambri, seminit sebelum tamat, tetapi Selangor jelas berhak untuk diselubungi gembira kemenangan besar itu.
*tak leh lelap jugak malam tadi..YB Nasir kat stadium mesti terloncat2 kan...hehe..apa leh buat..takdak rezeki dakap Piala Sumbangsih!huhuh...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan