Khamis, 22 Mei 2008

PKPIM cadang kerajaan rombak sistem pemakaian pelajar perempuan

Thu May 22, 08 2:18:43 pm MYT
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) -
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia agar merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan di sekolah rendah dan menengah. Menurut Naib Presiden HEWI, PKPIM, Munirah Bahari cadangan agar Kementerian Pelajaran membuat rombakan ke atas pakaian seragam sekolah pelajar perempuan yang berwarna putih itu demi memenuhi syariat dan tuntutan agama Islam. Jelasnya penukaran warna baju tersebut nampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan.

Katanya, PKPIM melihat konsep menutup aurat itu penting dan perlu didedahkan kepada masyarakat Islam terutama yang melibatkan muslimah. Tambahan pula pakaian yang sopan dan menutup aurat boleh mencegah dan melindungi wanita daripada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. "Akhir-akhir ini kita sering disajikan dengan kes sosial, rogol, gangguan seksual mahupun hubungan seks sebelum perkahwinan yang melibatkan remaja wanita belasan tahun. Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah. "Implikasi daripada kejadian ini maka berlakulah kelahiran bayi luar nikah, pembuangan bayi mahupun pelacuran. Isu yang melibatkan keselamatan diri remaja merupakan isu yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak," katanya, dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat pihak yang memandang sambil lewa hal ini. Jelasnya, pemakaian baju sekolah berwarna putih itu sendiri mempunyai daya tarikan supaya lelaki mendekatinya. "Pakaian merupakan cerminan akhlak seseorang muslim dan Islam sangat menitik beratkan perihal pakaian menurut Islam. Baju berwarna putih tersebut sangat jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan menyebabkan ada daya tarikan di situ. Lebih-lebih lagi ia akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak. "Di sinilah punca yang boleh kita saksikan terjadinya perkara-perkara seperti pencabulan, penzinaan dan sebagainya. Hakikatnya, kita tidak mahu perkara sebegini berlaku di negara kita," katanya.

Beliau menegaskan seharusnya remaja perempuan perlu bersifat 'assertif' terhadap sesuatu perbuatan yang mencabuli kehormatan mereka. Katanya, apa yang terjadi sekarang ialah mereka tidak tegas dan membiarkan diri mereka diperlakukan apa sahaja oleh sesiapa. Sehubungan itu beliau mengharapkan penilaian terhadap baju sekolah pelajar perempuan perlu dilakukan oleh Kementerian Pelajaran secepat mungkin. "Jika Kementerian Pelajaran ingin mengekalkan warna putih tersebut, PKPIM mencadangkan agar pelajar perempuan diwajibkan untuk memakai singlet dalam ataupun tudung labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat. Kami mengharapkan agar Kementerian Pelajaran bertindak tegas dalam menangani isu ini," katanya. - mns
[ulasan raudhah7 :- satu cdgn yang patut diberikan perhatian oleh pihak kerajaan, sudah sampai masanya kita bangun untuk bersama membasmi masalah sosial yang kian membarah dlm golongan muda mudi kita sekarang, sesungguhnya lapangan ilmu dan sekolah merupakan pusat kepada pembentukan akhlak muda mudi, sistem pendidikan yang menekankan modal insan yang berdisiplin, berakhlak mulia perlulah diketengahkan dan ditekankan...ayuh pemimpin yang bertanggungjawab!tunaikan tanggungjawab anda,ingatlah di akhirat kelak anda semua akan disoal oleh Maha Pencipta!]

Tiada ulasan: